Friday, July 18, 2008

Ikhlas vs Riyak

Sabda Rasulullah saw, :

"Yang sangat aku khuatirkan atas kamu ialah syirik yang kecil. Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah apakah syirik yang kecil itu? Jawabnya, : "Riyak, Pada hari pembalasan kelak Allah berkata kepada mereka:'Pergilah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka di dunia, lihatlah di sana kalau-kalau kamu mendapatkan kebaikan dari mereka'.

Keikhlasan
Bila berbicara hal keikhlasan, haruslah dimulakan dengan huraian tentang niat, kerana di antara keduanya sangat erat hubungannya. Niat ialah dorongan yang tumbuh dalam hati manusia, yang menggerakkan untuk melaksanakan amal perbuatan. Niat adalah titik tolak permulaan dalam segala amal perbuatan yang menjadi ukuran penentu tentang baik buruknya sesuatu perbuatan. Ulamak menyimpulkan: "Kerap kali amal yang kecil menjadi besar kerana baik niatnya, dan kerap kali pula amal yang besar menjadi kecil kerana salah niatnya"

Kedudukan niat itu dijelaskan dalam sebuah hadis: Dari Umar bin Khaththab r.a, katanya dia mendengar Rasulullah saw bersabda: "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hirjahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah".

Maka setiap amal harus berlandaskan niat dan nilai amal tersebut juga bergantung kepada niat orang yang mengerjakannaya. Sekiranya nawaitunya 'ada udang disebalik batu', maka amalan itu akan tertolak.

Didalam setiap niat yang penting adalah ikhlas. Ikhlas bererti memperindahkan ibadah atau kebajikan kerana Allah semata-mata dan mengharapkan keredhaannya. Tempatnya sama dengan niat iaitu di hati.

Imam Yahya an-Nawawi membagikan amal yang baik itu kepada 3 macam:

1. Beramal kerana takut kepada Allah.

2. Beramal kerana mengharapkan pahala dan supaya kelak dimasukkan ke syurga.

3. Beramal sebagai bakti dan bukti tasyakur kepada Allah atau beramal sebagai satu kewajiban.

Selain itu ada juga amal yang niatnya bercampur-baur, umpama menunaikan haji disamping bermotif dagang. Atau bersedekah supaya si peminta sedekah cepat pergi dari perkarang rumahnya.

Hadis riwayat Abu Daud: "Bertulus ikhlaslah dalam melaksanakan agamamu, nescaya amalmu yang sedikit itu cukup untukmu".

Riyak.

Niat yang tidak ikhlas dinamakan riyak. Terdapat tujuan lain dalam amalnya, samada untuk dilihat orang lalu dipuji orang. Firman Allah swt, al-Israa' ayat 18-20:

18. Barangsiapa mengkehendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian kami sediakan baginya diakhirat neraka Jahanam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

19. Dan barangsiapa menghendaki kehidupa akhirat dan berusaha kearah itu dengan bersungguh-sungguh, sedangkan dia beiman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik.

20. Kepada kedua-dua golongan tersebut, Kami berikan bantuan dari kemurahan Tuhanmu dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalang.

Mujahid berkata: Seorang datang kepada Nabi saw dan berkata: "Ya Rasulullah, saya bersedekah mengharap keredhaan Allah dan ingin juga disebut dengan baik." Maka turunlah ayat 111 surah al-Kahfi:

111. ..maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya.

Amalan Diketahui Orang

Riwayat Waki' dari Abi Saleh berkata: Seorang datang kepada nabi saw lalu berkata: "Ya Rasulullah, Saya berbuat suatu amal yang saya sembunyikan, kemudian diketahui orang, maka saya berasa senang, apakah masih mendapat pahala? Jawab Nabi saw: "Ya".

Abu Laits berkata: Amalan yang diketahui orang sehingga ditiru, maka ia mendapat pahala kerana beramal dan pahala kerana ditiru orang. Rasulullah bersabda:

"Siapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat. Dan siapa yang memberi contoh kejahatan maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang menirunya hingga hari kiamat"

Oleh yang demikian, orang yang beramal secara terang-terangan dilihat manusia, jika niatnya supaya dicontohi oleh manusia lain, adalah tidak termasuk dalam kategori riyak.

Kaedah.

Untuk keselamatan suatu amal, berhajat pada 4 perkara:

1. Ilmu - memastikan amalan itu menepati perintah atau sunnah.

2. Niat - setiap amalan bergantungpada niat.

3. Sabar - supaya dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna, tidak terburu-buru.

4. Ikhlas - amalan yang tidak disertai dengan ikhlas, tidak akan diterima.

Selain dari itu, untuk menghilangkan riyak, perlulah kita melazimi segala amalan. Dengan demikian ianya menjadi perkara yang kebiasaan.

WaAllahuaklam

No comments: