Firman Allah swt dalam Hadis Qudsi:
"Aku tidak akan menghimpunkan dua macam ketakutan bagi hamba-Ku dan tidak pula akan mengumpulkan dua macam rasa aman baginya. Jika ia merasa aman daripada-Ku di dalam dunia, Aku akan berikan rasa takut kepada-Nya pada hari kiamat. Dan jika ia merasa takut kepada-Ku di alam dunia, Aku akan berikan kepadanya rasa aman pada hari kiamat".
Secara ringkasnya hadis ini membawa maksud:
1. Sekiranya kita sewaktu di dunia ini mempunyai perasaan takut terhadap Allah swt lalu berlaku taat akan perintah-Nya, juga menjauhi segala larangan-Nya, maka di hari kiamat kelak, tidak akan ditimpakan rasa takut itu lagi. Bahkan Allah akan menjaga dan memeliharanya dari kedahsyatan siksa hari akhirat.
2. Sekiranya kita sewaktu di dunia ini merasa aman lalu melakukan maksiat dan mungkar tanpa rasa takutkan Allah, maka di hari kiamat kelak, Allah tidak akan memberikan rasa aman dan tenteram kepada kita. Bahkan Allah akan menimpakan rasa takut dan khuatir serta Allah akan menyiksa kita sesuai dengan amal perbuatan kita.
Pendekkata, kita tidak akan dirasa takutkan dua kali. Juga rasa aman dua kali.
Rasa takut.
Ulamak membagikan takut kepada 2 jenis iaitu:
1. Takut kepada siksaan iaitu yang dapat dirasakan oleh ahli zahir secara lahiriyah saja dan ianya boleh hilang.
2. Takut kerana kehebatan wibawa (jalaal) yang dapat dirasakan oleh ahli-qulub yang sering bertaqarrub kepada Allah dan ianya kekal dan tidak hilang sebagaimana Khulafaur-Rasyidin dikalangan sahabat, tabi'in dan seumpamanya.
Pokoknya apabila manusia takut kepada Khaliq-nya sewaktu di dunia ini, dan sangat berhati-hati untuk tidak melibatkan dirinya dalam kejahatan, kedurhakaan dan maksiat, akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan aman tenteram tidak merasa takut mahupun cemas, malah ia akan mendapat kejayaan dan kemenangan rahmat Allah serta keredhaan-Nya.
Maka marilah kita panjatkan doa agar Allah menghiasi hati dan batin kita dengan rasa takut dan rasa kehebatan wibawa-Nya. Juga memohon agar dijauhkan kita dari rasa takut dan kegoncangan jiwa pada hari pertemuan dengan-Nya, amin.
WaAllahuaklam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment