Thursday, June 19, 2008

Larangan Dalam Agama - 16 Jun 2008

Bismillah.
Anatara lain larangan dalam agama yang bersabit dengan hadis-hadis Nabi ialah:

>Menuduh seseorang itu fasik atau kufur.
"Jangan seorang lelaki menuduh seorang lelaki yang lain sebagai fasik atau kufur melainkan dikembalikan tuduhan tersebut kepada yang menyebutnya sekiranya tuduhan itu tidak benar"
Ini menunjukkan setiap tuduhan yang dilemparkan mestilah benar, berasas, maka dibolehkan. Sekiranya tuduhan tersebut tidak benar, tuduhan kufur/fasik itu akan dikembalikan kepada yang menuduh. Maka berhati-hatilah dengan setiap perkataan yang keluar dari mulut kita.

Memaki hamun.
"Apabila 2 orang bermaki hamun, yang lebih mendapat dosa ialah siapa yang memulakannya"

Apa respon kita apabila kita dimaki?
Di dalam kaedah mu'tadah, kita dibolehkan membalas maki tersebut dengan syarat tidak melebihi dari yang memulakannya. Tapi biasanya kita akan balas balik lebih dari yang memulakan. Dia bagi kita sepatah, kita balas balik 10 patah. Dosa kita pula yang lebih daripada dia kerana kita mula melampaui batas.

Dalam satu kejadian apabila seorang lelaki telah dihadapkan kepada Rasulullah atas kesalahan mabuk, maka Nabi berkata "pukul dia". Abu Hurairah menceritakan, "Ada dikalangan kami yang memukulnya dengan rotan, tangan, baju, selipar dan macam-macam. Ada salah seorang dari kami yang memukul sambil berkata "Semoga Allah mengazab kamu!". Mendengar itu, Nabi menegur "Jangan kamu jadikan syaitan berruang di dalam diri kamu".

Peristiwa diatas menunjukkan bahawa sekiranya yang dimaki itu seorang pesalah pun kita tidak boleh memakinya kerana dia telah dihukum dengan kesalahannya dengan hukum Allah. Hukuman dalam islam adalah bertujuan mendidik, dengan demikian tidak semestinya menggunakan rotan. Ianya untuk menimbulkan rasa malu kepada pesalah yang dengannya akan mendatangkan rasa sesal dan tidak ingin mengulangainya lagi.

WaAllahuaklam

No comments: